HiDuP iNi HanYa SeMenNtaRa...MungKin EsOk MungkIn LuSa KiTa Akan Mati...BuanGkAnLah RaSa MaRah DaN DendaM pAda Orang Di SekeLiLing Kita...MaAfkanLAh MereKa KiRanya MereKa BerSaLaH...mUnGkIn iTuLaH kaLi tErAkhir kItA aKaN bErTemU DengaNnYa...


Hidup perlu gembira. Kegembiraanlah yang melahirkan rasa bahagia dan di situlah nikmat kehidupan. Apapun kita boleh lakukan. Kalau kita suka dan gembira dengannya, pekerjaan yang kita lakukan tidak akan terasa letih dan bosan sekiranya kita suka dan gembira dengan pekerjaan tersebut.

Begitu jugalah kehidupan dalam keluarga akan lebih bermakna sekiranya kita dapat merasa gembira bersama ahli keluarga. Melihat dan memerhatikan telatah anak, suami atau isteri, membuatkan hati kita bertambah lapang dan tenteram, bukan sebaliknya. Kalau sebaliknya bermakna kita menghadapi tekanan yang negatif lantas muncullah perasaan sedih, pilu, marah, bosan dan sebagainya.
Kegembiraan hidup menjadi milik setiap individu yang mahu mencarinya. Semua orang berhak hidup dalam kegembiraan dalam apa situasi yang mereka lalui. Kata cerdik pandai, “Kegembiraan merupakan seni yang dapat dipelajari.” Dengan kata lain, sesiapa yang mengetahui cara memperoleh, merasakan dan menikmati kegembiraan, maka ia akan dapat memanfaatkan pelbagai kenikmatan dan kemudahan hidup, baik yang ada di hadapannya mahupun yang masih jauh berada di hadapannya.
Kasih Sayang
Para
sahabat merupakan individu yang amat gembira bilamana mereka berada berdampingan dengan diri Rasulullah. Sungguhpun kehidupan Rasulullah dipenuhi dengan pelbagai kesulitan dan kesengsaraan akibat kerja-kerja dakwahnya, para sahabat merasai kebahagiaan dan ketenangan bersama-sama Rasulullah dalam mengharungi segala cabaran dan dugaan.
Ada
banyak faktor yang membuatkan kecintaan para sahabat terhadap Rasulullah semakin mendalam sehingga mereka cukup gembira mendampingi baginda. Antaranya, saat bersama Rasulullah mereka sentiasa merasakan kenikmatan hidup, saat berada di sisinya mereka merasai kehangatan kasih sayang dan ketulusan hati, saat berada di bawah payung ajarannya mereka merasakan ketenteraman, dengan mematuhi segala suruhannya mereka mendapat keselamatan dan dengan mengikut sunnah-sunnahnya mereka mendapat kekuatan dalaman.
Sesungguhnya modal utama bagi memperoleh kebahagiaan dan kegembiraan adalah kekuatan dan kemampuan diri untuk menanggung segala bebanan kehidupan. Ketika berhadapan dengan suatu suasana yang genting, hati dan perasaan tidak mudah goyah. Hati dan perasaan tidak pernah berasa takut dan gentar dengan apa jua peristiwa yang terjadi di hadapannya. Individu yang selalu membiasakan dirinya dengan sifat sabar dan memiliki daya tahan yang tinggi, nescaya segala tekanan hidup akan terasa ringan dan mudah.
Gambaran kebahagiaan seperti ini terpancar dalam kehidupan para sahabat Rasulullah pada peringkat awal dakwah Islam yang dipenuhi dengan tentangan fizikal, mental dan emosi yang tiada tolok bandingnya. Mereka memperoleh kegembiraan dalam perjuangan menghapuskan kemungkaran. Sungguhpun bilangan mereka sedikit, daya tahan dan kesabaran mereka dikagumi oleh Rasulullah dan mendapat sanjungan daripada Allah.
Pemikiran
Kegembiraan juga berkait-rapat dengan cara seseorang individu mengendalikan pemikiran dalam mengharungi kehidupan. Pemikiran seharusnya digunakan untuk memikirkan perkara-perkara yang baik dan positif serta digunakan dalam perancangan hidup yang boleh membawa kepada kebahagiaan dan kegembiraan.

Pemikiran yang tidak dipandu akan mudah kembali mengingatkan peristiwa-peristiwa silam sehingga menimbulkan kesedihan dan trauma yang berterusan dalam hidup. Pemikiran tentang masa hadapan yang tidak didasarkan kepada hakikat kehidupan sebenar boleh mengundang kebimbangan, keluh-kesah dan rasa cemas.
Akal pemikiran manusia sering berkait-rapat dengan faktor masa dan ruang, sehingga menjadikan seseorang individu berada dalam hambatan masa lalu dan masa akan datang. Sekiranya akal fikiran sentiasa menangisi kenangan hidup masa lalu, maka berlakulah kesedihan dan gundah-gulana. Sekiranya tumpuan akal fikiran diarahkan kepada masa hadapan, kebimbangan dan rasa cemas akan menyelinap pada diri individu. Sedih adalah fikiran dan perasaan masa lalu, cemas dan bimbang adalah fikiran dan perasaan mengenai masa depan dan akan datang.
Pemikiran harus ditumpukan kepada apa yang ada pada hari ini untuk dipenuhi dengan kegembiraan dan keceriaan. “Hari ini milik anda” merupakan ungkapan yang paling indah dalam kamus kebahagiaan dan kegembiraan, kamus bagi mereka yang menginginkan kehidupan yang paling indah dan menyenangkan.
Akal fikiran
Bagi memperoleh kebahagiaan, realiti kehidupan duniawi juga semestinya dipandang dari kedudukan yang betul, bersesuaian dengan fitrah semulajadinya. Dalam melihat dunia dan segala permainan dan tipu dayanya, memerlukan seseorang individu menggunakan pancaran akal dan mata hati yang dipimpin oleh keimanan, bukan menerusi pandangan hawa nafsu semata-mata.
Kehidupan duniawi merupakan suatu medan ujian bagi menentukan status dan kedudukan individu di sisi Penciptanya. Setiap apa yang terjadi mempunyai hikmah dan manfaat kepada manusia sungguhpun akal pemikiran manusia sukar mencapai hakikatnya. Baik buruk hasil yang diperoleh bukanlah terletak dalam ketentuan manusia tetapi manusia harus menerima segala ketentuan yang telah diputuskan oleh yang berhak menentukannya.
Rasa redha dengan apa yang terjadi, bersikap positif dalam setiap perkara yang berlaku, tidak bersikap buruk sangka sesama manusia lebih-lebih lagi kepada Allah, akan membina satu kekuatan spiritual yang mendalam dalam jiwa sehingga terbitnya kegembiraan dan kebahagiaan dalam apa juga mehnah dan tribulasi kehidupan di dunia.
Pokok pangkal kegembiraan dan kebahagiaan individu terletak pada hati yang bersih dari segala sifat-sifat negatif dan keji. Kecerdasan spiritual yang tunduk dengan segala ketentuan dan perancangan Allah akan dapat melihat keluasan dunia ini sebenarnya menjadi tanda kebesaran Penciptanya dalam mengatur seluruh kehidupan di atasnya. Kegembiraan sebenar terletak pada diri manusia itu sendiri, bukannya pada faktor persekitaran yang selalunya berubah dan tidak kekal. Peribahasa Cina ada menyebutkan, “Bagi orang yang berpuashati kemiskinan dan kegelapan pun membawa kebahagiaan, manakala bagi orang yang tidak berpuashati, kekayaan dan penghormatan membawa kesedihan.” Kebahagiaan dan kegembiraan adalah rahsia di sebalik kerelaan, ketenangan dan rasa aman. Untuk terus berasa tenang dan bahagia, terimalah seadanya apa yang telah berlaku dan berusaha bersungguh-sungguh untuk membina kejayaan dan kecemerlangan daripada kegagalan dan kekecewaan yang lalu.
Impikan bahagia
Kegembiraan dan kebahagiaan dalam erti kata yang sebenarnya sukar untuk diperoleh dalam kehidupan di dunia. Rasulullah sebagai insan maksum pernah melalui detik-detik kesedihan dan kepiluan dalam memperhambakan dirinya kepada Allah. Sungguhpun begitu, kesedihan yang berlaku ini menjadi kekuatan baginya untuk meneruskan kehidupan dalam mengejar kegembiraan dan kebahagiaan hakiki di akhirat nanti. Setiap individu mengimpikan kehidupan yang penuh dengan kegembiraan dan kebahagiaan. Dalam usaha membina kehidupan yang penuh dengan kegembiraan dan kebahagiaan, setiap individu perlu bijak mengurus kekuatan diri yang telah dianugerahkan Allah untuknya kerana kegembiraan sebenarnya terletak pada hati dan perasaan kita.
Oleh itu carilah kegembiraan dalam diri dalam kehidupan duniawi kerana ianya menjadi syarat untuk memperoleh kegembiraan dalam kehidupan ukhrawi nanti. Allah mengingatkan, “Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya.

Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.”
(Surah al-Hadid;22-23)

0 comments:

Blog Widget by LinkWithin