Sebelum engkau melangkah
Dengarkan pesan ini
Yang dititip dari zaman Sulaiman
Hingga ke penghujung zaman.
Apakah dia yang kau gerun
Sedangkan Allah adalah pelindung.
Apakah dia yang kau lupa
Sedangkan semua konspirasi dunia dia yang merencana.
Apakah dia yang kau sokong
Sedangkan dia pembinasa rohani dan jatidiri.
Apakah dia yang kau cuba lari
Tanpa kau sedari jajahan takluknya segenap penjuru bumi.
Apakah dia yang kau angkat menjadi raja
Sedangkan tempoh pemerintahannya hanya 40 hari sahaja.
Apakah dia yang kau cuba tentang
Sedangkan ajalnya di tangan al-Masih Ibnu Maryam.
Tunggulah saat dan ketikanya bila dia menjajah dunia
Kelak baru kau tahu betapa kelam sudah bermula
Hanya penjuru Mekah dan Madinah disekat segala langkah
Kau lelah dalam segala fitnah
Kau lolos dalam kesabaran
Semua teruji bila gendang tarinya berbunyi
Inilah ujian atas iman
Inilah ujian keyakinan
Amat hebat dan menggetarkan
Yang belum pernah dibayangkan
Yang paling dahsyat pernah diberitakan
Setiap Nabi berpesan waspada jangan kau leka
Ketika zaman menghampirinya kita lupa
Ketika dia tampil persiapan tidak berguna
Maka dia muncul ketika kita tidak bersedia
Dia datang bagai ribut dan taufan
Belum sempat kita memaut anak dan keluarga
Habis semua dibawa pergi
Membawa ke alam ilusi fantasi
Habis roboh kota iman
Habis runtuh benteng keyakinan
Yang tinggal hanya nafsu dan tipudaya
Hanya menanti cahaya al-Masih Ibnu Maryam
Dalam diam, tafakkur dan zikir
Selamat datang zaman fitnah dan kekacauan
Selamat tinggal kerapuhan iman
Selamatlah kamu semua mengharungi mehnah dan cabaran.
Muhammad Nurani Maarif
Ditulis pada satu hari yang kelam
Ramadhan 1429
0 comments:
Catat Ulasan